Press ← and → on your keyboard to move between
letters
Ke hadapan diri yang disayangi,
Hari ini ialah hari terakhir Ramadan 2023. Esok, penganut Islam akan menyambut 1 Syawal. Hari ini juga ialah hari Jumaat. Dalam agama, Jumaat ialah penghulu hari dan terdapat satu masa selepas Asar hingga sebelum Maghrib, masa yang doa-doa hamba-Nya akan dimakbulkan. Apatah lagi hari ini masih lagi dalam bulan Ramadan. Aku sangat mengharapkan doa aku dimakbulkan oleh Allah.
Pagi tadi, aku menyemak e-mel untuk melihat kalau-kalau aku menerima mesej daripada seseorang berkenaan pencarian jodoh. Ternyata, setelah beberapa hari, aku tidak menerima balasan daripadanya. Hal ini bermakna mungkin sebenarnya takdir aku ini tidak tertulis berkenaan jodoh di dunia. Antara sebab aku agak berharap untuk dia sudi berkenalan dengan aku adalah kerana dia orang Melayu. Dia juga seperti menekuni perkara berkaitan agama yang membuat aku rasa selesa apabila membaca profailnya. Dia ada kelulusan MA. Aku bukanlah meminta kriteria begini dan begitu. Namun, aku trauma apabila bekas pasanganku menyatakan yang aku ini berlagak pandai. Aku sentiasa berasa diri tidak tahu, apatah lagi untuk mengatakan aku pandai. Sedangkan terlalu ramai orang di dunia ini yang pandai. Mungkinkah cara aku bercakap dengannya seakan-akan menunjukkan aku berlagak pandai? Jadi, aku berfikiran lelaki yang mungkin aku selesa untuk mencari-cari ialah lelaki yang berpendidikan sekurang-kurangnya BA. Aku bimbang jika aku mencari lelaki yang berkelulusan SPM (walaupun bekas pasanganku sebenarnya berkelulusan PhD) kerana aku khuatir aku dilihat bersikap angkuh di depan suami. Aku mahu perbualan antara suami dengan isteri seimbang dan tidak merendah-rendahkan satu sama lain, kerana itu kelulusan ini agak penting bagiku. Aku mahu menjadi hamba yang solehah dan isteri yang baik dan sopan kepada suamiku, terutama dalam komunikasi seharian.
Pada petang Jumaat ini, sambil berdoa memohon keampunan, aku juga terkenang-kenang pengalaman lepas yang amat memeritkan. Antara perkara yang dikatakan dan dilakukan kepadaku:
- kawan-kawan lelakinya dan kawan-kawan wanitanya mengetahui aku akan diceraikan namun aku tidak tahu langsung tentang hal ini.
- aku bukan isteri yang baik dan solehah, sikap aku akan menghalang dia daripada masuk syurga dan bertemu dengan Allah.
- aku jahat kepada semua orang, kepada ibu bapa, kepada kawan-kawannya, kepada pelajar-pelajarku, kepadanya. Kali terakhir aku berjumpa dengan kawannya, aku sangat mengalu-alukan kedatangan kawannya dan berjumpa sahaja dengan kami jika ada sebarang masalah. Tanpa aku ketahui, rupanya kawannya juga berkata aku layak diceraikan. Mungkin hingga ke akhir hayat aku bersedih mengenangkan nasib diceraikan dan difitnah.
- aku tidak dibelikan sebarang baju sebaliknya duit bekas pasanganku diberikan secara bulanan kepada bakal isterinya (sekarang mereka sudah berkahwin Alhamdulillah).
- kepalaku dihentak di atas lantai, mujur ada tikar yang agak tebal, setidaknya tidaklah terlalu sakit.
- banyak lagi, aku rasa terlalu perit untuk menyenaraikan semua.
Entahlah Ya Allah, aku semakin tua. Aku seorang wanita yang lemah. Aku selalu terfikir, jika aku dilanjutkan umur hingga ke usia tua dan tak berdaya melakukan segala seorang diri, ke mana aku akan pergi? Siapa yang akan membantuku? Adakah aku akan ada anak-anak yang akan menceriakanku dan akan menemaniku? Seronok sebenarnya mendengar pengalaman kawan-kawan yang ada pasangan masing-masing dan anak-anak. Cerianya hidup mereka. Walaupun penat bekerja, namun apabila berjumpa anak, hati mereka mesti akan rasa sangat gembira dan sukar diungkapkan dengan kata-kata. Aku yang tiada anak boleh membayangkan perasaan itu, apatah lagi orang yang memang memiliki pasangan dan anak-anak. Mungkin takdir aku, aku tiada pasangan dan anak di dunia. Ya Allah, adakah Engkau mentakdirkan aku keseorangan dan menderita di dunia ini, ya Allah? Sedihnya aku mengenangkan nasib sendiri.. Rasa-rasanya, ada tak rumah orang tua untuk aku nanti apabila aku sudah tamat bekerja?
Namun entah bagaimana, dalam masa sama, aku juga dapat merasai aku seakan mula reda dan menerima nasib sendiri. Tidak bererti aku menangis, aku tidak reda. Tidak bererti aku masih ingat segala penderitaanku, aku tidak reda. Aku bersyukur aku melalui ujian ini. Terima kasih, ya Allah. Aku yakin, penderitaan aku akan berakhir apabila hayatku berakhir. Mudah-mudahan, segala penderitaan aku nanti, dapat menghapuskan segala dosa kecil dan segala dosa besarku lalu memudahkan urusanku di akhirat. Ya Allah, semoga setiap perkara yang aku lalui di dunia ini, yang sering kali membuatkan aku berasa sedih dan menangis, akan menjanjikan kemenangan dan kegembiraan di akhirat. Semoga aku dapat masuk ke syurga-Mu, ya Allah! :')
Semoga kematianku ialah kematian yang baik dan kuburku dilapangkan seluas-luasnya. Amin.
Sign in to FutureMe
or use your email address
Create an account
or use your email address
FutureMe uses cookies, read how
Share this FutureMe letter
Copy the link to your clipboard:
Or share directly via social media:
Why is this inappropriate?